160 petani terima insentif NKEA

160 petani terima insentif NKEA

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my

KOTA BELUD 26 Dis. - Seramai 160 petani merakamkan kesyukuran kepada kerajaan kerana memberikan insentif Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi meningkatkan hasil pertanian masing-masing.

Seorang penerima insentif dari Kampung Taun Gusi Padang, Ahmad Mahmud Ansit, 45, berkata, langkah kerajaan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Belud dalam mempertingkatkan hasil padi melalui penyewaan tanah daripada orang perseorangan amat dialu-alukan.

Katanya, melalui skim tersebut para pemilik tanah bakal mendapat insentif peningkatan hasil padi sekiranya penghasilan tanah mereka mampu mencapai dua tan dalam sehektar.

"Saya yakin dapat meningkatkan hasil sedia ada kerana melalui skim ini, kerajaan menyediakan semua kemudahan termasuk membekalkan racun rumpai dan racun serangga.

"Tidak mustahil untuk kita mengikuti jejak rakan petani di Sekinchan (Selangor) yang boleh mencapai hasil sehingga 10 tan sehektar bagi semusim kerana kerajaan begitu bersungguh-sungguh merealisasikan perkara ini," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Pengurusan Berpusat NKEA\ Pertanian di sini semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abd. Rahman Dahlan; Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Datuk Musbah Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abd. Gari Itam.

Sementara itu, seorang petani dari Kampung Jawi-Jawi, Maud Umbul, 32, berkata, usaha tersebut merupakan jawapan terbaik bagi membangunkan kembali tanah sawah yang tidak diusahakan sejak sekian lama.

Katanya, melalui program itu, kerajaan akan membina infrastruktur seperti membina jalan untuk memudahkan pengambilan hasil dan memulihkan tanah sawah.

"Kami menyambut baik perkara ini kerana kerajaan memberi kemudahan dan pelbagai pilihan bagi kami, contohnya pemilik tanah seperti saya boleh mengerjakan tanah sendiri dengan upah yang berpatutan dalam semusim," jelasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd



Dikemaskini pada: 21 May, 2018




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda