45 petani Pengerang sertai kursus tanaman pisang

Utusan Malaysia
45 petani Pengerang sertai kursus tanaman pisang

KOTA TINGGI 13 Dis. - Seramai 45 peserta pertanian ladang kontrak di sekitar kawasan Pengerang mengikuti Kursus Pengendalian Lepas Tuai (PLT) Tanaman Pisang anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Tinggi baru-baru ini.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang itu bertujuan mendedahkan peserta mengenai kaedah dan teknologi terkini yang mampu menjana pendapatan dan hasil lebih tinggi daripada tanaman berkenaan.

Kursus di Tanjung Kapal Resort, Pengerang itu diadakan sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Pisang Berangan antara Fama dan PPK Pengerang yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Harun Abdullah.

Turut hadir ialah Pengarah FAMA Wilayah Selatan, Shahid Abu Bakar; Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri; Pengurus Besar PPK Pengerang, Suriadi Abd. Jalal dan Pengerusi PPK Pengerang, Abd. Kadir Ahmad.

Harun dalam ucapannya berkata, kerajaan begitu komited meningkatkan hasil pertanian di negara ini dengan mengatur dan merancang pelbagai strategi untuk membantu para petani.

Antara langkah yang dibuat adalah mengenal pasti kawasan pertanian terbiar untuk diusahakan dan dipulihkan semula dengan projek pertanian komersial dan berharap kaum Melayu merebut peluang tersebut bagi menjadi petani moden dan bersaing di peringkat global.

"Difahamkan jumlah peserta ladang kontrak di negeri Johor seramai 397 orang yang melibatkan keluasan keseluruhan 2,129 hektar.

"Daripada jumlah tersebut, 31 daripadanya adalah peserta ladang kontrak di daerah Kota Tinggi dengan keluasan 300 hektar dan 13 di kawasan Pengerang melibatkan kawasan 225 hektar," katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Noh Basri, 24, dari Felda Lok Heng Barat percaya, golongan petani dan usahawan tani merupakan golongan yang berani mencuba dan mampu mentransformasikan minda untuk berjaya.



Dikemaskini pada: 24 Feb, 2018




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda