Dividen sudah dibayar kepada Pertubuhan Peladang Kawasan

TERIMA kasih kepada saudara JARAN KEPONG dari Sri Medan Batu Pahat di atas surat saudara di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 31 Disember 2009. Tahniah daripada Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di atas penyertaan saudara dalam program PPNJ untuk meningkatkan taraf sosioekonomi peladang melalui pelaburan dalam Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).

SPKP diwujudkan oleh PPNJ dengan tujuan memberi peluang kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli peladang di seluruh negeri Johor melabur dalam projek pembinaan kilang sawit PPNJ di Kahang, Kluang, Johor. Di peringkat permulaan, PPNJ telah memperuntukan 30% yang bernilai RM9.15juta daripada keseluruhan kos pembinaan kilang tersebut kepada SPKP.

Semasa perlaksanaannya sambutan daripada kumpulan sasar, PPK dan ahli peladang amat menggalakkan. Dengan demikian, PPNJ telah mengambil keputusan meningkatkan jumlah pelaburan daripada ahli melalui skim ini kepada RM13.1 juta.

Melalui program ini, PPNJ telah menetapkan kadar dividen 10% mulai tahun pertama kilang beroperasi penuh sehingga tahun ke lapan. Mulai tahun ke sembilan kadar dividen tertakluk kepada keuntungan sebenar operasi kilang. Sehingga kini PPNJ telah membayar dividen tersebut pada kadar yang ditetapkan mulai tahun 2005 hingga 2008. Jumlah keseluruhan dividen yang telah dibayar berjumlah RM2,270,021.57

Pembayaran dividen akan dibuat setelah penyata kewangan tahunan PPNJ diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan tidak lewat daripada 30 September setiap tahun. Mesyuarat Agung PPNJ dibuat setelah semua mesyuarat agung 28 buah PPK di seluruh Negeri Johor yang ditetapkan perlu diselesaikan sebelum 31 Julai setiap tahun. Selepas proses ini selesai barulah PPNJ dapat memproses dan seterusnya membuat pengiraan dividen yang akan dibayar kepada pelabur.

Bagi tahun 2008 PPNJ telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya dan meluluskan penyata kewangan pada 16 Ogos, 2009. Selepas itu proses pengiraan dividen dibuat dan keputusan muktamad, serta jumlah dividen, diluluskan pada 30 November 2009. Semua dividen telah pun dibayar kepada pelabur melalui PPK pada 24 Disember 2009. Seterusnya PPK akan memproses dan membuat bayaran kepada ahli individu yang telah layak menerima dividen daripada pelaburan mereka.

Sehubungan dengan itu bayaran dividen yang dibuat tidak lewat daripada peraturan yang ada dan pengurusan PPNJ sentiasa bersikap proaktif dalam memastikan perkhidmatan yang efisien kepada ahli-ahli.

Melalui program ini PPNJ telah berjaya memberi pulangan yang kompetitif kepada pelabur dan PPNJ yakin bahawa pendekatan ini akan terus mendapat sambutan daripada peladang-peladang. Dengan demikian program SPKP akan diperluaskan lagi bagi membiayai projek-projek ekonomi yang berdaya maju.

MOHD. YUSOF MD. SALLEH .

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah

Pertubuhan Peladang Negeri Johor.



Dikemaskini pada: 24 May, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda