Istilah durian segera, ekspres atau pintas sudah sinonim dengan Teknologi Cantuman Dewasa Durian (TCDD).

Setiap kali musim durian pastinya penggemar raja buah itu tidak sabar menanti kemunculan pelbagai jenis durian yang enak dan sedap.

Malah raja buah turut menjadi ‘kegilaan’ pelancong asing yang datang ke negara ini dan ada yang sanggup terbang ke Malaysia semata-mata mahu menikmati keenakan buah yang berprestij itu.

Menyedari hakikat itu, Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang yang terkenal dengan kawasan tumpuan penanaman durian Musang King, memperkenalkan TCDD.

Konsep asasnya adalah menggantikan varieti pokok durian yang tidak dikehendaki kepada varieti yang lebih ekonomik dan mengikut pilihan usahawan tani sendiri.

Antara varieti yang menjadi pilihan tidak asing lagi iaitu varieti D197 (Raja Kunyit @ Musang King), D24, D198 (Kim Hong @ Golden Phoenix), durian duri hitam (Ochee) dan pelbagai lagi varieti yang dikehendaki usahawan.

Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), PPD Raub Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, Musang King antara jenis durian popular masa kini.

Beliau berkata, teknik ini juga digunakan untuk mencantum varieti baru yang mempunyai ciri lebih baik dan ada nilai komersial.

“Sistem pengakaran yang sudah tersedia dan stabil menjadikan ia satu bonus besar untuk tumbesaran pokok durian berkenaan.

“Melalui teknologi ini, pokok durian dapat menghasilkan buah seawal empat hingga lima tahun selepas cantuman dijalankan.

“Pemilihan pokok yang dicantum adalah pokok yang sihat dan bebas daripada penyakit perosak kerana ia merendahkan peratus kejayaan cantuman serta risiko kematian pokok asal sangat tinggi.

“Terdapat dua kaedah dalam teknologi ini iaitu pembentukan semula tunas penanti baru dan cantuman terus pada pokok penanti (patch),” katanya yang ditemui ketika demonstrasi cantuman pokok durian di Raub, baru-baru ini.

Mohd Ali berkata, kaedah tunas penanti baru dihasilkan melalui tiga kaedah iaitu kaedah tebang (tunggul), kaedah pollarding (1-2 dahan ditinggalkan sebagai jaminan kelangsungan hidup) dan kaedah ketiga adalah kaedah kelaran.

“Dalam tempoh satu hingga ke tiga bulan tunas penanti baru mula tumbuh dan dicantum melalui kaedah baji, cantuman mata tunas, cantuman patch ranting atau sanding.

“Sementara bagi kaedah cantuman patch dilakukan dengan membuat cantuman terus pada pokok penanti dewasa dan pokok asal ditebang secara berperingkat selepas cantuman berjaya.

“Pemilihan pokok yang sihat tanpa sebarang serangan perosak atau penyakit mampu meningkatkan peratus kejayaan cantuman,” katanya.

Menurutnya, cantuman perlu dilakukan pada aras 1.0 meter (m) hingga 1.2m dari aras tanah.

“Terdapat empat amalan bagi penyelenggaraan dan penjagaan pokok selepas cantuman berjaya dilakukan iaitu keperluan air dan sistem pengairan, cantasan penjagaan, menebang pokok penanti atau pokok dewasa.

“Cantasan penjagaan bagi memastikan tunas yang rapat, tidak bertindih dan tidak seimbang akan dipangkas bagi memastikan tumbesaran pokok tidak terbantut serta sihat.

“Seterusnya membuang ranting sisi di setiap dahan bagi membentuk dahan dan zon buah yang sihat secara berperingkat. Buluh atau kayu sokongan dipasang dengan mengikat tunas cantuman pada batang pokok dewasa bagi mengelak tunas patah dan sekah.

“Tali juga digunakan bagi menyokong pokok dari patah. Kemudian pokok penanti atau dewasa ditebang selepas hari ke 60 hingga 90 hari selepas cantuman berjaya dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, jarak yang sesuai adalah dalam lingkungan satu kaki ke atas dari tapak cantuman. Muka keratan pokok yang ditebang hendaklah dipotong pada sudut 300 hingga 450' bagi mengelak berlakunya takungan air pada pokok.

“Melalui teknologi ini, pokok durian mampu berbuah seawal empat hingga lima tahun selepas cantuman dijalankan.

“Penjagaan dan kawalan terhadap bilangan buah perlu dititik beratkan mengikut usia pokok supaya kualiti tanaman serta hasil sentiasa dalam keadaan sihat selain konsisten,” katanya.

Mohd Ali berkata, teknologi ini sudah terbukti sangat praktikal bagi usahawan tanaman durian yang ingin menggantikan pokok lama kurang ekonomik atau komersial kepada varieti dikehendaki.

“Ia selari dengan permintaan dan nilai tinggi. Teknologi ini dapat memartabatkan industri pertanian di negara kita ke arah peringkat global berpaksikan Amalan Pertanian Baik (APB) yang dijayakan Jabatan Pertanian,” katanya.

 

 

 

 

 



Dikemaskini pada: 16 Nov, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda