Permintaan tinggi terhadap jagung manis mendorong penduduk Kampung Pering, Kodiang, Kedah mengusahakan tanaman itu secara serius.

Melalui Koperasi Asas Tani Kedah Berhad (KATKB), projek pertanian jagung manis membabitkan keluasan 47.3 hektar itu menjadi punca pendapatan penduduk berkenaan selain tanaman padi dan getah.

Pengerusinya, Johari Yahaya, 68, berkata koperasi yang ditubuhkan sejak tahun 2002 memberi peluang kepada ahlinya menambah pendapatan.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 40 peserta projek tanaman jagung manis yang diusahakan sekitar kawasan itu dengan hasil pengeluaran bagi 0.4 hektar adalah sebanyak lima tan.

“Kampung Pering terkenal sebagai desa utama pengeluar jagung manis yang juga sebuah desa seimbang dan mampan dari segi pembangunan serta mempunyai semangat perpaduan tinggi dalam kalangan masyarakatnya.

“Kami memberi tumpuan meningkatkan hasil projek tanaman jagung manis yang menjadi punca pendapatan utama penduduk,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Johari berkata, selain tanaman padi, langkah proaktif dilakukan supaya peningkatan luas tanaman jagung dapat dijalankan secara meluas bukan saja tertumpu pada kawasan kampung semata-mata, tapi merentasi kawasan luar.

“Projek kelompok ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekali gus menambah punca pendapatan masing-masing.

“Jagung manis yang dihasilkan di ladang terbabit dibahagikan kepada gred A bagi berat melebihi 320 gram setongkol, B (280 gram hingga 320 gram) dan C (kurang 280 gram).

“Tanaman ini mengeluarkan hasil selama tiga musim dalam setahun dengan setiap musim memerlukan 65 hingga 70 hari untuk dipetik,” katanya.

Menurutnya, jagung memerlukan cuaca panas, namun jika terlalu panas ia boleh mendatangkan kesan kepada mutu tanaman. Walaupun proses penanaman jagung manis tidak rumit, namun pengurusan tanaman perlu betul.

“Paling penting kawalan serangga bagi mengeluarkan hasil terbaik. Kawasan ladang juga perlu bersih kerana rumput yang panjang dan semak menyebabkan pokok kurang subur serta hasil berkurangan.

“Setongkol jagung bagi gred A dijual dengan 70 sen, gred B dijual dengan 40 sen dan gred C pula dijual dengan 25 sen,” katanya.

Katanya, Jabatan Pertanian Kedah banyak membantu dari segi khidmat nasihat dan membimbing peserta hingga berjaya.

Sementara itu, Ketua Kelompok Jagung Kampung Pering, Ku Senang Ku Ahmad, 51, berkata selain projek tanaman jagung manis, KATKB turut membina sebuah kilang memproses kordial jagung di Kodiang sebagai alternatif perniagaan.

Katanya, pasaran diperluaskan ke seluruh negara melalui media sosial dan pasar raya bagi mengembangkan perniagaan KATKB.

“Kita mempunyai lebih 20 pekerja sepenuh masa dan separuh masa untuk mengendalikan kilang berkenaan. Alhamdulilah, kordial jagung ini mendapat permintaan menggalakkan kerana keenakan rasanya.

“Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berkenaan tanaman dan kordial jagung boleh menghubungi melalui Facebook KATKB,” katanya.

 

http://www.hmetro.com.my/node/201975

 

 

 

 

 



Dikemaskini pada: 14 Nov, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda