Kementerian Pertanian bebaskan 2,850 keluarga daripada kemiskinan tegar

HARIAN METRO

KOTA BAHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya membebaskan 2,850 keluarga miskin tegar berpendapatan kurang RM720 sebulan daripada 3,000 keluarga miskin tegar yang disasarkan pada 2010 oleh kerajaan kepada kementerian itu.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama semua agensi di bawah kementerian berkenaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Gerak Siswazah Tani di sini semalam, beliau berkata kerajaan mengamanahkan Kementerian Pertanian supaya meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi.

Katanya agensi terbabit juga diminta membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan itu terus menjalankan perniagaan yang diceburi agar ekonomi mereka terus kukuh.


"Kita tidak mahu melihat mereka kembali ke tahap lama dan meninggalkan bidang ekonomi yang diceburi," katanya.- Bernama



Dikemaskini pada: 21 Aug, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda