Kerugian pesawah diketahui minggu depan

ALOR SETAR 10 Dis. – Hasil bancian jumlah kerugian sebenar yang ditanggung pesawah akibat kemusnahan tanaman padi ekoran banjir yang melanda negeri ini pada pertengahan bulan lalu dijangka diketahui seminggu lagi.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Radin berkata, anggaran kemusnahan tanaman padi akibat ditenggelami air kini di peringkat akhir rumusan.

Menurutnya, bancian awal sebelum ini mendapati jumlah keluasan sawah yang ditenggelami air di dalam dan luar MADA dianggarkan melebihi 10,000 hektar.

"Bagaimanapun sawah yang tenggelam ini bukan semuanya akan mengalami kerosakan tanaman anak padi.

"Butiran terperinci mengenai kemusnahan dan kerugian yang ditanggung pesawah mungkin dapat dikeluarkan minggu depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Banjir yang melanda Kedah selama dua minggu mulai 7 November lalu mengakibatkan lebih 1,600 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Dianggarkan 5,500 hektar sawah ditumbuhi anak padi yang purata berusia seminggu di dalam kawasan MADA ditenggelami air manakala di luar lembaga itu pula kira-kira 5,000 hektar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom baru-baru ini berkata, kerajaan akan menghulurkan bantuan sebanyak RM573 per hektar kepada petani yang terjejas selepas MADA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selesai menjalankan bancian.



Dikemaskini pada: 24 May, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda