Lahir 12,000 usahawan tani


Utusan Malaysia
Lahir 12,000 usahawan tani

Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
utusanjohor@utusan.com.my
 

BATU PAHAT 21 Dis. - Seramai 12,000 usahawan tani berjaya dilahirkan melalui pelbagai program pembangunan usahawan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di seluruh negara setakat ini.

Setiausaha Bahagian Industri Asas Tani, Azini Mohd. Shahid berkata, daripada jumlah itu, 20 peratus berjaya mendapat pendapatan RM2,000 sebulan.

"Ini sesuatu yang membanggakan dan sambutan luar biasa diterima setiap kali kementerian mengadakan program di seluruh negara menandakan para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu untuk meningkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Setakat ini sebanyak tujuh program telah dijalankan dan Parlimen Parit Sulong merupakan kawasan pertama dalam negeri Johor mengadakan Bengkel Teknologi Reka Bentuk Pembungkusan dan Pembangunan Jenama produk usahawan industri asas tani," katanya di sini semalam.

Bengkel anjuran bersama Ahli Parlimen Parit Sulong itu diadakan di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit Sulong itu mendapat sambutan daripada 40 pengusaha PKS di sekitar Parlimen Parit Sulong.

Azini berkata, pada tahun depan, pihaknya akan mengadakan Program Pembasmian Kemiskinan dan Parlimen Parit Sulong tersenarai dalam program berkenaan.

"Dalam program itu, pengusaha akan diberi bantuan berupa peralatan dan teknikal bernilai RM10,000 seorang agar dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti produk keluaran mereka," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad semasa merasmikan bengkel itu berkata, bengkel usahawan yang julung kali diadakan di Parlimen Parit Sulong itu memberi peluang kepada pengusaha PKS agar dapat mempelajari sesuatu yang baru dalam meningkatkan kualiti produk mereka

"Mereka diajar bagaimana pembungkusan yang terbaik, pelabelan, pemasaran dan fotografi agar produk yang dipasarkan nanti mendapat sambutan," katanya.

Katanya, 40 peserta yang berjaya menamatkan bengkel dengan sempurna berpeluang mendapat geran pemadanan iaitu kerajaan akan membiayai 80 peratus kos penghasilan produk yang dikeluarkan.

"Contohnya, sekiranya pengusaha memerlukan modal RM10,000, maka 80 peratus daripadanya akan dibiayai oleh kerajaan dan pengusaha hanya perlu mengeluarkan modal 20 peratus sahaja," katanya.



Dikemaskini pada: 16 Nov, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda