Maran pengeluar nangka madu

UTUSAN MALAYSIA

ARKIB : 05/12/2010

 

MARAN 4 Dis. - Maran mampu menjadi pengeluar utama produk berasaskan nangka madu menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di negeri ini.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, sasaran itu dijangka mencapai matlamatnya berikutan pembinaan sebuah kilang memproses nangka madu di Kampung Serengkam yang beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Katanya, kilang tersebut dikendalikan oleh 10 peserta projek tanaman nangka madu di kampung itu.

''Kilang ini diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Maran dengan seorang Pengurus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bertanggungjawab menyelia serta mengawal perjalanan projek.

''Pejabat Tanah dan Daerah Maran menyediakan bangunan tiga unit kedai dengan peruntukan sebanyak RM60,000 dan dibantu oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang menerusi geran sebanyak RM245,000.

''Kilang ini telah mengeluarkan sebanyak tiga produk iaitu jus nangka, halwa nangka dan jem nangka,'' katanya berucap sempena lawatan Pegawai Kemajuan Negeri Pahang, Datuk Dzulkifly Osman ke Kilang Produk Nangka Madu Kampung Serengkam di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Maran, Khairur Rizal Ramli.

Ismail yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Maran (MPPP) memberitahu, kilang itu juga mengeluarkan satu produk baru iaitu cip nangka sejak sebulan lalu berikutan pembelian sebuah mesin bernilai RM269,000 dari China.

Sehingga kini kata beliau, produk kilang tersebut telah menyertai beberapa pameran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK).

''Produk kilang ini juga akan menyertai pertandingan produk-produk SDSI peringkat kebangsaan sempena Pameran SDSI 2010 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 10 hingga 12 Disember ini,'' katanya.

Ismail memberitahu, pada masa ini kilang terbabit sedang berusaha memenuhi kriteria bagi Persijilan Amalan Perkilangan Terbaik (GMP) supaya produk dapat dipasarkan dengan lebih meluas.

Jelasnya, Usaha itu memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf kilang dan mendirikan sebuah kilang cip nangka di atas tapak yang telah dikenal pasti di Kampung Bak-Bak, Luit dekat sini.



Dikemaskini pada: 24 May, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda