AMANAT KETUA PENGARAH
LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG 2014

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHHIWABARAKATUH
DAN SALAM SEJAHTERA 

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT dengan limpah rahmat-Nya kita sama-sama melangkah ke Tahun Baru 2014 dengan penuh keiltizaman untuk melaksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh sebagai peneraju transformasi pertubuhan peladang (PP) dan peladang progresif di negara ini.

Kejayaan program dan aktiviti sesabuah organisasi adalah disebabkan beberapa faktor di antaranya perancangan yang diatur rapi, semangat kerja berpasukan, hubungan yang rapat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sepanjang tahun 2013, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan LPP, tanggal 25 Februari 2013, tercatat sejarah yang akan dikenang oleh warga kerja LPP dan PP apabila Menara LPP dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke enam. Menara setinggi 10 tingkat yang tersergam indah berlatarbelakangkan Bangunan Parlimen menjadi mercu tanda kemegahan bagi seluruh masyarakat peladang di negara ini.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan pada 5 Mei 2013, kita dengan penuh dedikasi berjaya membantu melaksana Program MOA Bersama Rakyat serta menyempurnakan pengagihan bantuan Touch Point berjumlah RM20.8 juta kepada 104,000 ahli-ahli PP diikuti dengan penglibatan aktif dalam menjayakan Perhimpunan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013 dan kejayaan menganjurkan The 5th ASEAN Cooperative Business Forum (ACBF). Pelaksanaan program KOR TANI secara zon dan berfasa telah dapat disempurnakan dan fasa seterusnya dilaksana pada tahun 2014. Komitmen warga kerja LPP dalam mengamalkan pengurusan persekitaran berkualiti (Amalan 5S) telah membuahkan hasil apabila pihak Malaysia Productivity Corporation (MPC) memberi pengiktirafan persijilan kepada LPP Ibu Pejabat pada sambutan Hari Inovasi LPP 2013 yang disempurnakan oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pencapaian dalam menjalankan fungsi LPP sebagai Pendaftar PP, agensi pengurusan dan agen pembangunan PP adalah dibanggakan. Kejayaan ini adalah disebabkan kita berjaya mematuhi sepenuhnya kehendak dan tanggungjawab yang diamanahkan, seperti termaktub dalam Akta Lembaga Pertubuhan Peladang (Akta 110) 1973, Akta Pertubuhan Peladang (Akta 109) 1973 dan peraturan serta aturan yang terkandung di dalamnya. Berakhir 31 Disember 2012, sejumlah 182 Laporan Kewangan Beraudit PP dianugerahkan sijil audit tanpa syarat.

Pada tahun 2014 ini, cabaran utama kita adalah untuk turut sama membangunkan sektor agromakanan negara khususnya dalam usaha meningkatkan bekalan bahan makanan yang selamat dimakan dalam negara, pengeluaran produk industri asas tani dan usaha meningkatkan pendapatan di kalangan usahawan tani yang terlibat. Untuk itu, usaha-usaha bagi mengubah persepsi dan stigma masyarakat umum bahawa sektor pertanian dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran, masih mengamalkan cara lama serta bekerja dalam persekitaran yang kotor, bidang yang tidak memberi pendapatan lumayan perlu diberi keutamaan oleh LPP/PP melalui pelbagai program termasuk program pembangunan peladang yang diharapkan mampu melahirkan usahawan-usahawan peladang yang cekap dan berdaya saing serta memperolehi pendapatan dari produk yang dihasilkan.

Dalam usaha meningkatkan pendapatan masyarakat peladang, Tahun 2014 diisytiharkan jihad memerangi orang tengah yang mengambil kesempatan mengautkan keuntungan berlebihan daripada hasil usaha para peladang, penternak dan nelayan. Untuk itu, langkah-langkah penambahbaikan dengan menguasai aktiviti di sepanjang rantaian nilai pengeluaran tanaman, ternakan dan ternakair termasuk pemasaran menjadi keutamaan program PP. LPP melalui PP merancang untuk mewujudkan 153 buah Pasar Peladang menjelang tahun 2015 berbanding 42 buah Pasar Peladang sedia ada agar memberi lebih banyak kemudahan kepada ahli-ahli PP memasarkan terus hasil pengeluaran mereka tanpa melalui orang tengah dan sekaligus mengurangkan penguasaan dan kebergantungan kepada golongan berkenaan.

Kejayaan teknologi moden dan inovasi terkini dalam pembangunan sektor agro makanan yang diperlihat, dipelajari dan diajarkan diharap dapat mengubah minda masyarakat peladang khususnya di kalangan golongan muda untuk berminat menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya dan perniagaan yang menguntungkan. Untuk ini, aktiviti-aktiviti bagi menarik minat golongan melalui program Kor Tani, Kelab MYAGROSIS dengan kerjasama universiti tempatan, Jabatan Pendidikan, persatuan belia akan dipertingkatkan. Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan Majlis Perundingan Agropreneur diharap menjadi pemangkin kepada penyertaan aktif golongan muda untuk menjadikan sektor pertanian sebagai pekerjaan di masa hadapan. PP dengan keahlian golongan pelapis muda juga perlu diberi perhatian serius bagi mempastikan kelangsungan pergerakan yang aktif mengikut perkembangan semasa. Ini disebabkan hanya 15% daripada 826,163 keahlian PP berumur 40 tahun ke bawah. Dalam usaha membantu merubah gaya kepimpinan yang lebih dinamik dalam urustadbir PP, tindakan melantik ahli jemaah pengarah di kalangan orang muda oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diharap dapat membawa perubahan lebih baik dalam pengurusan PP.

Bagi mendepani tahun 2014, warga LPP haruslah berpandangan positif dan berinovatif dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Kita perlu bertindak pantas secara berpasukan melaksanakan agenda transformasi PP dengan memberi mutu perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat peladang. Oleh demikian, tumpuan tugas pembangunan LPP adalah mempastikan setiap projek pengeluaran makanan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan benar-benar menyumbang kepada matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN) dan mampu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran secara berterusan. Peruntukan pembangunan 2014 sebanyak RM28.4 juta akan digunakan bagi melengkapkan rantai nilai projek agromakanan PP.

LPP menerusi pergerakan PP adalah seiringan dalam merealisasikan DAN dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, menjadikan industri agromakanan berdaya saing serta meningkatkan pendapatan usahawan tani. Saya berkeyakinan bahawa warga kerja LPP dapat menerima cabaran ini dan mempersiapkan diri bagi sama-sama menumpukan segala usaha, tenaga dan fikiran bagi melaksanakannya dengan cara terbaik. Justeru itu, pengiktirafan dan ganjaran kepada warga kerja LPP adalah berdasarkan kepada hasil atau output dan impak yang dihasilkan. Walaupun terdapat banyak program pembangunan yang telah dilaksanakan membawa kesan positif kepada masyarakat peladang, tetapi masih banyak yang perlu kita lakukan dalam tahun ini.

Saya turut mengharapkan semua warga kerja LPP dan PP membudayakan pendekatan 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' dalam menjalankan tugas. Kita mempunyai dua peranan iaitu sebagai penjawat awam yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan kita juga adalah sebagai rakyat yang memerlu serta menerima perkhidmatan daripada penjawat awam. Oleh itu, tanamkanlah sifat murni di kalangan warga kerja LPP dan PP untuk sentiasa boleh memberikan perkhidmatan terbaik secara bersungguh-sungguh untuk memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai bentuknya. Pendekatan turun padang bagi warga kerja LPP dan PP mendekati masyarakat peladang serta mengambil tindakan proaktif membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka hendaklah diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun ini.

Seiring dengan usia LPP yang kini mencecah 41 tahun pada tahun 2014 ini, sama-sama kita beriltizam agar organisasi ini dibajai serta disemai dengan tekad untuk berusaha lebih gigih dalam satu pasukan, patuh kepada disiplin yang tinggi dan beramanah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan ke arah pencapaian petunjuk prestasi utama LPP. Untuk mempastikan LPP sentiasa relevan sepanjang zaman, semua lapisan warga kerja LPP dan PP di peringkat Ibu Pejabat sehinggalah ke segenap kawasan diharapkan dengan gigih dan berani akan dapat menggalas cita-cita, visi, misi, objektif dan kelangsungan LPP yang telah digariskan melalui Pelan Korporat 2011-2015.

Akhir kata, semoga tahun ini kita semua dikurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik serta dipermudahkan dalam segala urusan oleh Allah SWT. InsyaAllah dengan niat yang ikhlas, mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk yang baik dari Allah SWT dalam setiap usaha kita. Sama-sama kita panjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar kita dianugerahkan kekuatan dan kesabaran menghadapi cabaran yang akan ditempuh sepanjang tahun 2014. Sesungguhnya dengan pertolongan dan keredhaan-Nya, kita mampu mencapai kejayaan serta dapat menaikkan imej LPP. Semoga tahun 2014 ini menjadikan kita seorang warga kerja LPP dan PP yang lebih cemerlang, berinovatif, berdedikasi dan bertanggungjawab dalam membangunkan PP dan masyarakat peladang progresif di negara tercinta ini.

Sekian
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum W.B.T


DATO' ARPAN SHAH BIN SATU
Ketua Pengarah
Lembaga Pertubuhan Peladang

 



Dikemaskini pada: 21 May, 2018




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda