Berita Harian, Isnin, 7 Januari 2007
Utara: Petani Cameron Highlands Kedua gigih tanam sayur
Oleh Kamudin Baharom

Usia menjangkau 60 tahun tidak halang Wan Mahmud tetap aktif dalam bidang pertanian

ARAU: Meskipun usianya sudah menjangkau 60 tahun dan bergelar datuk, namun ia bukan halangan bagi Wan Mahmud Wan Ishak dari Kampung Sena dekat sini, untuk terus membabitkan diri secara aktif dalam bidang pertanian.

Malah, bagi Wan Mahmud yang lebih mesra di kalangan masyarakat tempatan dengan panggilan Pak Wan, berazam untuk terus `bergelumang' dalam bidang yang sudah diceburinya sejak berusia 15 tahun sebagai punca pendapatan utama keluarga. Ini kerana bagi Pak Wan, biarpun mengakui dan sedari bidang yang diceburinya itu bakal berdepan dengan pelbagai cabaran atau risikonya namun tetap yakin ia mampu memberikan hasil yang lumayan kepada pengusahanya.

Demikian pegangan dan pandangan ikhlas seorang pengusaha ladang sayuran, Wan Mahmud Wan Ishak ketika ditemui di ladang tanaman cili merah dan tembikai miliknya di Kampung Kok Klang dekat sini, baru-baru ini.

Wan Mahmud adalah antara pengusaha projek pertanian yang dikenal pasti berjaya dan masih aktif di kawasan Kok Klang yang pernah diberi jolokan Cameron Highlands Kedua kerana banyak mengeluarkan hasil sayuran di negeri ini, sekitar tahun 1980-an. Beliau mengusahakan pelbagai sayuran dan tanaman termasuk cili merah besar, tembikai (kuning dan merah), kundur, timun dan tebu, secara bergilir mengikut kesesuaian tanah dan keperluan pasaran.

Bagi tujuan itu, Pak Wan bukan sekadar menggunakan tanah kebun getah seluas kira-kira 1.5 hektar miliknya di Kampung Kok Klang sebagai tapak projek malah turut menyewa tanah milik penduduk tempatan untuk menanam pelbagai sayuran.

Ketika ditemui di ladangnya di Kok Klang, baru-baru ini, Pak Wan kini menumpukan perhatiannya kepada dua jenis tanaman iaitu cili merah yang sudah mengeluarkan hasil sejak dua bulan lalu dan tembikai merah dan kuning yang baru berusia seminggu.

"Bidang ini (menanam sayuran) bukan baru bagi saya kerana sudah terbabit secara langsung sejak lebih 40 tahun. Malah, bidang inilah yang menjadi sumber pendapatan keluarga termasuk membiayai pengajian dua anak yang bersekolah.

"Saya banyak belajar daripada keluarga khususnya, bapa (Wan Ishak Wan Md Arof) yang menanam tebu dan pelbagai sayuran bagi membiayai kehidupan kami sekeluarga," katanya kepada Berita Harian.

Pak Wan memberitahu menerusi tanaman sayuran yang diusahakannya itu, beliau mampu memperoleh pendapatan bersih antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selepas menolak pelbagai kos perbelanjaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kalanya pendapatannya mampu meningkat kepada lebih RM2,000 sekiranya permintaan dan harga di pasaran meningkat.

"Jika pasaran baik dan harganya tinggi, maka pendapatan boleh dikatakan banyak (lumayan). Sebaliknya jika pasaran kurang menggalakkan dan harganya pula jatuh, maka pendapatan ikut merosot," katanya menjelaskan masalah yang dihadapi.

Mengenai tanaman cili merah dan tembikai yang diusahakannya, Pak Wan Mahmud berkata, asalnya ia adalah kebun getah tua yang ditebang untuk ditanam semula, sementara menunggu tanaman getah mengeluarkan hasil selepas tujuh tahun.

"Oleh kerana pokok getah ini sudah tua maka selepas ditanam semula dan sementara menunggu ia besar dan mengeluarkan hasil, saya memanfaatkannya dengan tanaman cili dan tembikai.

"Bagi tujuan ini saya membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanan termasuk menyediakan tapak dan membeli pelbagai keperluan seperti benih, plastik, bajak, racun, buluh untuk junjung, tali dan paip getah," katanya.

Tanaman cili yang diusahakannya memerlukan tempoh 90 untuk mengeluarkan hasil dan berterusan sehingga enam bulan manakala tembikai pula antara 30 dan 40 hari.

"Ketika ini, harga cili merah mencecah RM4 hingga RM6 sekilogram manakala tembikai antara RM1 hingga RM1.20 sekilogram," katanya memberitahu hasil keluaran cili itu dipungut berselang sehari atau 15 kali sebulan dengan hasil setiap pungutan antara 100 dan 200 kilogram atau pendapatan RM400 dan RM800.

"Dalam tempoh empat bulan selepas mengeluarkan hasil, saya mampu menuai hasil antara RM7,000 dan RM8,000," katanya.

Wan Mahmud tidak pernah menyertai mana-mana kursus atau lawatan sambil belajar anjuran Jabatan Pertanian atau pihak lainnya melainkan memanfaatkan pengalaman sendiri dengan bantuan anaknya, Wan Ismail, 25 dan isteri, Pah Abdullah, 61.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini harga barangan seperti baja, racun dan plastik yang meningkat dan serangan penyakit seperti serangga perosak, penyakit kerinting daun, reput buah dan anai-anai yang menjejaskan pertumbuhan dan pengeluaran hasil.

Harga sebotol racun kini mencecah RM185, sekampit baja seberat 50 kilogram meningkat kepada RM104 berbanding hanya RM60 sebelum ini.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk memantau dan mengawal kenaikan harga pelbagai barangan pertanian ini bagi mengurangkan bebanan dihadapi pengusaha sayuran di negara ini.

INFO: Wan Mahmud Wan Ishak.

  • Mengusahakan tanaman cili merah dan tembikai di kawasan seluas 1.5 hektar.
  • Pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000.
  • Belanjakan wang simpanan RM20,000 untuk jayakan projek tanaman cili dan tembikai.



Dikemaskini pada: 24 May, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda