Berita Harian, Khamis, 27 Disember 2007
Petani Kedah dapat bantuan ihsan Mac

ALOR STAR: Kira-kira 1,700 pesawah di Kedah yang mengalami kerugian apabila padi mereka yang sedang berbuah rosak ditenggelami banjir baru-baru ini dijangka memperoleh bantuan ihsan selewat-lewatnya Mac ini, iaitu sebelum musim penanaman baru bermula.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Abdul Rahim Saleh, berkata usaha mempercepatkan bantuan itu bagi memastikan pesawah terbabit dapat menanam semula padi mengikut jadual, walaupun mereka mengalami kehilangan pendapatan pada musim sekarang.

Beliau berkata, sehubungan itu sekumpulan pegawai Mada akan turun padang membuat bancian berhubung taksiran dan jumlah sebenar kerugian bagi memastikan bantuan dapat diagihkan secara telus dan adil. "Bancian akan dilaksanakan Januari ini dan dijangka selesai dalam tempoh kurang seminggu. Justeru, kita jangkakan keluasan sawah yang musnah di kawasan Mada lebih besar berbanding 3,515 hektar seperti jumlah anggaran awal yang direkodkan.

"Maklumat bancian akan dihantar kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri dan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Negara sebelum bantuan diputuskan.

"Kemungkinan besar pesawah akan memperoleh sumbangan berbentuk wang tunai," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kemusnahan tanaman padi itu tidak menjejaskan pengeluaran di negeri ini kerana kerosakkan berkenaan terlalu minimum iaitu antara tiga hingga empat peratus daripada jumlah pegeluaran padi tahunan.

"Sumbangan akan diagihkan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan kami memberi jaminan semua pesawah akan menerima bantuan sama ada pesawah MADA atau luar MADA," katanya.



Dikemaskini pada: 21 May, 2018




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda