Petani perlu berubah, naikkan taraf

18/12/2012 - Norfatimah Ahmad | tim@bharian.com.my

Najib disambut orang ramai ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agung ke-39 NAFAS di Kuala Lumpur, malam tadi.

Najib mahu transformasi dalam jaringan pembekal global

Kuala Lumpur: Penggiat sektor pertanian perlu melalui fasa transformasi dengan terbabit secara langsung dalam jaringan pembekal global untuk menaikkan taraf mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata mereka perlu berubah dan bukan lagi berada di takuk lama.

 "Jika dulu petani hanya tanam, tinggal dan tuai, tetapi di zaman moden kita perlu jadikan petani sebagai sebahagian pelaku dalam jaringan pembekal peringkat global.



Orang muda, pertanian

"Bagi memastikan orang muda menceburi bidang pertanian, kita perlu pastikan bidang ini memberikan jaminan dari segi kualiti hidup dan pendapatan tinggi, sekali gus wujud harapan dan peluang besar kesinambungan sektor ini," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung ke-39 Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini, malam tadi.

NAFAS yang memiliki modal saham ahli sebanyak RM222.6 juta dianggotai 800,000 ahli membabitkan 276 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

Nilai urus niaganya mencecah RM3.72 bilion, manakala keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 2011 adalah RM349.85 juta. NAFAS sebagai badan induk mencatatkan jumlah keuntungan selepas cukai sebanyak RM188.4 juta.
Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengurusan Latihan dan Amali antara NAFAS dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Najib turut melancarkan Dana Peladang Kebangsaan dengan modal awal RM100 juta yang dilaburkan NAFAS, PPN dan ahli peladang individu seluruh negara.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi NAFAS, Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman. Dalam majlis itu, NAFAS yang mewakili 800,000 ahli berikrar menyokong Perdana Menteri dan kerajaan.

Tentukan arah pasaran

Perdana Menteri berkata, jaringan pembekal global juga dapat menentukan arah pasaran hasil pertanian negara, sekali gus meningkatkan pendapatan petani, penternak, peladang dan nelayan.

"Saya mahu lihat petani menggunakan aplikasi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan amalan terbaik bagi meningkatkan pengeluaran, selain meneroka pasaran baru ke peringkat antarabangsa," katanya.

Katanya, dalam era sekarang keuntungan dalam perniagaan bukan hanya 50 sen atau RM1 daripada RM10 nilai pengeluaran tetapi antara RM3 hingga RM4.

Berita Harian



Dikemaskini pada: 16 Nov, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda