Bernama, 18 Januari, 2008 10:41 AM
Pulau Tuba Lokasi Baru Penanaman Padi Organik Di Langkawi

LANGKAWI, 18 Jan (Bernama) -- Pulau Tuba, salah sebuah kepulauan Langkawi telah dikenalpasti sebagai lokasi kedua untuk tanaman padi organik di negeri Kedah.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi (PPK) Adnan Muda berkata, pertubuhan itu telah mengenalpasti kawasan seluas 80 hektar tanah di pulau tersebut yang subur tanpa dicemari bahan kimia dan sesuai ditanam padi organik.
Empat tahun lepas, kawasan seluas 10 hektar tanah di Kampung Ewa di Ayer Hangat merupakan kawasan yang pertama menanam padi organik yang telah menghasilkan lebih 15 tan metrik.

Padi itu akan dihantar ke Mardi Bukit Raya Kedah untuk diproses dalam bungkusan dan dijual dengan harga RM6 sekilogram.

"Kita berharap projek itu akan memberi manfaat kepada petani pulau Tuba meningkatkan sumber pendapatan di samping menjadi tarikan pelancong", katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, 40 petani akan mengusahakan projek tanaman itu yang dijadual bermula Julai ini dan usaha untuk memperluaskan tanaman ke pulau itu adalah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Adnan berkata PPK berharap lebih ramai pelancong asing dan tempatan akan berkunjung ke pulau itu untuk membeli beras organik yang dikenali "Langkawi Special Maswangi" sebagai buah tangan dari Langkawi.
--BERNAMA



Dikemaskini pada: 20 Aug, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda