Berita Harian, Isnin, 24 Disember 2007

 

Rakan kongsi tanam sayur
Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

Ketua Menteri minta pemilik tanah terbiar buat kerjasama dengan kaum lain jana tanah untuk tanaman komersial

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, mencadangkan tanah terbiar milik orang Melayu di negeri ini diusahakan dengan pelbagai tanaman sayuran secara perkongsian bersama kaum lain.

Beliau berkata, penduduk yang mempunyai tanah tetapi tidak mahu mengusahakannya disaran mencari sama ada kaum Cina atau India untuk menanam sayur-sayuran secara usaha sama. "Tidak bermakna jika orang luar mengusahakan tanah bererti kita menjual atau menyewa tanah sendiri kepada mereka tetapi ia untuk mewujudkan kerjasama supaya tanah yang dimiliki orang Melayu diusahakan daripada terus terbiar tanpa mendatangkan sebarang hasil.

"Langkah ini bagi membolehkan kedua-dua pihak dapat merancang projek bersesuaian untuk diusahakan dan mampu memberi pulangan lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Ketua Menteri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru di perkarangan Tadika Kemas Bukit Beruang, Rumah Awam Bukit Beruang di sini. Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Katil, Prof Datuk Dr Mohd Ruddin Abdul Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Md Yunos Husin; Pengarah Kemas Negeri, Ahmad Fakhrul Azman Radzi; Pengarah Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri, Datuk Othman Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Beruang, Mohd Farouk Mohd Sultan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, beliau tidak mahu lagi melihat orang miskin di negeri ini terutama di DUN Bukit Baru selain meminta penduduk dapat memperbanyakkan aktiviti menanam sayur-sayuran termasuk pisang jika bersesuaian.

"Saya berharap semua yang mempunyai tanah terbiar dapat menjadikannya satu projek yang boleh menjana tarikan kepada orang luar.

"Selain itu, rakyat Melaka tidak perlu takut untuk mencari sumber rezeki atas tanah sendiri dan jika mereka tidak mempunyai semangat dan perancangan yang betul, sudah pasti ia sukar direalisasikan.

"Namun, perlu semangat ingin berjaya seperti orang lain dan bagaimana bangsa lain boleh berjaya. Inilah yang perlu dijadikan ikutan sebagai persaingan baik dalam perniagaan tidak kira sama ada bercucuk tanam atau berniaga.

Sempena lawatan kerja itu, Mohd Ali merasmikan Tadika Kemas Bukit Beruang. Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan hamper makanan kepada 30 warga emas dan 20 pelajar menerima beg sekolah.

 



Dikemaskini pada: 25 May, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda