RM2.8 juta dividen untuk 28 PPK Johor

 

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

 

MOHD. Johari Baharum (depan, lima dari kiri) dan Saipolbahri Suib (enam dari kiri) bersama penerima replika cek dividen SPKP dalam Karnival Peladang Johor 2012 di MRSM Muar di Bakri, Johor, malam semalam.


MUAR 29 Dis. - Sebanyak RM2.8 juta dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) diagih-agihkan kepada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Johor di sini malam tadi.

Dividen berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Johor, Datuk Saipolbahri Suib dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan.

Pembayaran dividen tersebut yang dilakukan sejak 2005 adalah hasil daripada pelaburan dilakukan PPK dan ahli peladang di seluruh negeri ini termasuk pembinaan kilang kelapa sawit PPN Johor yang diwujudkan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi peladang.

Saipolbahri berharap pemberian dividen itu dapat menggalak dan merangsang PPK di seluruh negeri untuk lebih maju dan berjaya, sekali gus menjadi model kepada negeri lain dalam usaha mengubah taraf hidup golongan sasar.

"Kita mahu dividen kepada para pelabur terbabit akan menjadikannya satu transformasi perniagaan di Johor dan semua pihak perlu berganding bahu. Kita mahu status petani sara diri berubah kepada petani komersial dan kini kita mempunyai 85,000 ahli," katanya selepas perasmian Karnival Peladang Johor 2012 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Bakri, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian bonus tiga bulan kepada semua kakitangan PPK negeri ini dan tambahan gaji sebulan kepada kakitangan yang bekerja dengan cemerlang serta mempunyai prestasi memberangsangkan.

Beliau berkata, pemberian gaji tambahan itu bertujuan memberi motivasi selain meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan semua kakitangan supaya bersungguh-sungguh dalam membantu mengubah nasib petani, penternak dan nelayan.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata, PPN Johor menyumbang RM10 juta kepada Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang dilancarkan bulan lalu dengan modal permulaan RM30 juta.

Mengenai karnival selama tiga hari bermula semalam, beliau mahu ia dijadikan platform untuk merapatkan hubungan antara barisan kepimpinan peringkat atasan, pertengahan dan akar umbi termasuk para peserta.

Katanya, karnival itu untuk memantapkan PPN Johor selain memberi peluang kepada peserta mempromosikan produk pertanian mereka termasuk yang dihasilkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).


© Utusan Melayu (M) Bhd



Dikemaskini pada: 24 Feb, 2018




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda