Stesen Minyak LPP Raih RM108 juta


27/11/2009

KUALA LIPIS 26 Nov. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berjaya meraih nilai jualan sebanyak RM108 juta daripada 18 stesen minyak miliknya di seluruh negara dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Ketua Pengarah LPP, Mariam Mas Yaacob berkata, pencapaian tersebut membuktikan agensi yang banyak terlibat dalam sektor pertanian itu mampu meraih kejayaan walaupun perkhidmatan stesen minyak bukan perniagaan teras LPP.

Katanya, keuntungan hasil perniagaan stesen minyak yang dijalankan melalui anak syarikatnya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) secara tidak langsung dapat membantu menambah pendapatan ahli-ahlinya.

''Pada asalnya perkhidmatan stesen minyak LPP adalah untuk memberikan kemudahan kepada ahli-ahli PPK membeli minyak bagi membantu mereka menjalankan projek pertanian masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Stesen Minyak Caltex PPK Merapoh dekat sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Pengarah LPP negeri, Syafuddin Tan Abdullah.

Menurut Mariam Mas, stesen minyak milik PPK Merapoh itu merupakan yang ke-18 milik LPP di negara ini.

Katanya, penubuhan stesen minyak PPK Merapoh itu telah dirancang sejak tahun 1993 bagi memenuhi keperluan ahli-ahlinya yang sukar mendapat bekalan petrol dan diesel untuk kerja-kerja pertanian.

Sebelum wujud stesen tersebut, jelasnya, ahli-ahli PPK dan penduduk Merapoh terpaksa membeli minyak di Gua Musang atau Kechau Tui yang masing-masing sejauh kira-kira 30 dan 55 kilometer.

Semasa PPK Merapoh membuat pinjaman untuk membuka stesen minyak itu, ujarnya, sukar bagi LLP untuk meluluskannya kerana projek tersebut dianggap tidak memberikan keuntungan dan sukar membayar balik pinjaman.

''Ini kerana kedudukannya yang jauh di pedalaman dan penduduknya yang tidak ramai tetapi akhirnya LPP meluluskannya atas dasar untuk memberi perkhidmatan sosial.

''Walaupun pembinaannya agak lewat tetapi sejak beroperasi pada Februari lalu, ia berjaya meraih nilai jualan sehingga RM300,000 sebulan," jelasnya.

Menurut Mariam, kedudukan stesen minyak itu yang strategik kerana terletak di laluan utama antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu menjadikan ia tempat persinggahan lebih 300 bas ekspres selain pengguna jalan raya untuk makan dan berehat.



Dikemaskini pada: 20 Aug, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda