Saudara Pengarang,

MOHAMED KAMIL DASUKI
Sembrong

SAYA sebagai wakil pekebun kecil di Batu 3, Jalan Air Hitam, Mukim 7, Sembrong, Yong Peng, Batu Pahat ingin menyuarakan masalah kami.

Sejak Oktober 2011 lalu, kebun kami mula ditenggelami air sedalam hampir 0.3 meter. Dalam situasi begini pekebun-pekebun masih boleh memetik buah kelapa sawit.

Namun, pada awal November lalu, air semakin naik menyebabkan pekebun tidak lagi dapat memetik buah kelapa sawit kerana jalan utama ke kebun ditenggelami air.

Keadaan itu juga menyukarkan lori pengangkut buah kelapa sawit untuk mengambil hasil sawit.

Sebelum ini, kebun kami tidak pernah ditenggelami air selepas banjir besar pada 2007. Di kesempatan ini saya merayu agar agensi yang berkenaan menyiasat aduan saya ini.

Dalam suasana akhir tahun, banyak wang yang diperlukan untuk pembiayaan anak-anak ke sekolah sedangkan hasil yang disandarkan setiap bulan tidak dituai pula. Terdapat sesetengah pekebun yang hanya mengharapkan hasil sawit ini sahaja sebagai punca pendapatan utama untuk menyara keluarga mereka.

Untuk makluman, setiap seorang pekebun dianggarkan memperoleh purata pendapatan sebanyak satu tan dalam tempoh tiga minggu. Diharapkan pihak-pihak yang berkenaan dapat mempertimbangkan untuk memberi sedikit pampasan kepada kami dalam menghadapi perbelanjaan anak-anak pada awal tahun hadapan memandangkan sara hidup yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Sebagai sebuah kerajaan yang sangat prihatin dan bertanggungjawab terhadap masalah rakyat sebagaimana slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan', maka pertimbangkan permohonan kami.



Dikemaskini pada: 21 Aug, 2018




PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda