Kekurangan kemudahan dan pengetahuan dalam bidang teknologi lepas tuai menyebabkan banyak hasil keluaran peladang seperti sayur-sayuran dan buah-buahan cepat rosak sebelum dapat dipasarkan.

Malah , dalam keadaan tertentu, hasil keluaran ini terpaksa dijual dengan harga yang paling minimum dan kadangkala dibuang begitu sahaja. Ini merugikan peladang dan negara kerana banyak kos yang telah digunakan dan bantuan dicurahkan untuk menghasilkan keluaran tersebut.

Menyedari hakikat ini dan dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil-hasil pertanian, Pertubuhan Peladang (PP) dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA Inc) akan memberi tumpuan dalam perkhidmatan lepas tuai. Perkhidmatan ini adalah pengendalian aktiviti lepas tuai hasil-hasil keluaran pertanian di peringkat ladang sebelum sampai kepada pengguna.

 

Tujuan Dijalankan 
Tujuan perkhidmatan ini adalah untuk memudahkan dan memastikan pengendalian lepas tuai hasil-hasil pertanian di peringkat hingga kepada pengguna tidak rosak, berkualiti dan mendapat harga yang berpatutan.

 

Skop Pelaksanaan dan Jenis Perkhidmatan
Perkhidmatan teknologi lepas tuai ini diberi oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani melalui PP kepada peladang yang memerlukannya. Antara kemudahan yang disediakan ialah:

  • Perkhidmatan Pusat Pengumpulan
    • Sebagai pusat jualan terus bagi komoditi yang tertentu.
    • Menyelia kemudahan perkhidmatan pusat timbang.
    • Menyediakan perkhidmatan pembersihan, pengkelasan dan penggredan.
    • Menyediakan perkhidmatan pembungkusan, pelabelan dan jenama.
    • Membantu mempromosi jualan hasil pertanian.
    • Menyelia maklumat harga terkini produk di ladang.
  • Perkhidmatan Pengangkutan Dari Ladang Ke Pusat Mengumpul dan Memproses
    • Memberi dan menyedia khidmat pengurusan pengangkutan yang cepat dan menguntungkan.
    • Memberi galakan, sokongan dan khidmat nasihat supaya peladang usahawan memiliki sendiri kenderaan pengangkutan.
    • Menyelaras dan menjadi penghubung di antara peladang dan syarikat-syarikat pengangkutan.
    • Menyelaraskan dengan agensi-agensi yang menyediakan jalan ladang.
    • Menyelia dan menyelaraskan pengangkutan dari ladang ke pusat mengumpul.
  • Perkhidmatan Penyimpanan, Pengeringan dan Bilik Sejuk
    • Memberi khidmat teknikal mengenai kaedah penyimpanan yang betul dan sistematik dengan kerjasama agensi teknikal dan swasta.
    • PP menyediakan kemudahan pengeringan atau bilik sejuk yang sesuai untuk peladang di kawasan pengendalian.
    • Menyelaras dengan agensi atau syarikat yang mempunyai kemudahan pengeringan atau bilik sejuk.
    • Menyelaras dengan agensi atau syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan makanan.

 

Pelaksanaan Perkhidmatan 
Pegawai penyelaras dari Ibu Pejabat LPP, negeri dan PP akan melaksana setiap perkhidmatan yang ditetapkan dengan bantuan dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian pertanian dan Industri Asas Tani serta pihak swasta.

 

Faedah dan Kesan Yang Diperolehi
Pelaksanaan perkhidmatan lepas tuai ini dijangka memberi banyak manfaat kepada peladang sama ada secara langsung atau tidak langsung, antaranya :

  • Memudahkan para peladang memasarkan hasil keluaran dan meningkatkan pendapatan mereka.
  • Mengurangkan dan mengelakkan kerosakan dan pembaziran hasil keluaran pertanian kerana dapat dipasarkan dengan cepat dan lebihan keluaran dapat disimpan.
  • Meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara agensi kerajaan, swasta dan peladang.

 

Penutup
Perkhidmatan teknologi lepas tuai yang dilaksanakan ini dapat memudah dan meningkat pendapatan para peladang dan mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian. Di samping itu, dapat menggalakkan para peladang menjayakan projek-projek pertanian berskala besar dan menggunakan teknologi terkini.



Dikemaskini pada: 23 Oct, 2017




KONGSI ARTIKEL INI

PENDAPAT PENGUNJUNG (0)

Suarakan Pendapat Anda